*Artikel ini panjang. Baca sampai habis dan bacalah sikit demi sikit. Ia amat penting untuk anda mengelakkan KEGAGALAN yang tidak diingini. Catat jika anda rasa ia PENTING untuk diri anda..
Saya telah banyak menulis mengenai apa yang perlu bagi bakal atau mereka yang ingin menjadi usahawan Internet. Jika anda serius dan mengambil berat semua tulisan saya, tahniah, tetapi bagi anda yang mengambil remeh, AWAS.
Di tulisan ini, saya akan menceritakan kisah benar yang mungkin akanmenakutkan anda, terutama newbie. Namun, tujuan saya bukanlah untuk melemahkan semangat anda, sebaliknya saya mahu anda semua SERIUS dalam melakukan perniagaan Internet.
Di dalam pengalaman saya hampir bertahun dalam bidang ebiz ni (berapa tahun dah yer), saya telah melihat 101 karenah usahawan Internet sedia ada dan juga usahawan Internet baru termasuklah karenah saya sendiri (belajar daripada kesilapan). Apa yang saya ingin cerita di sini adalah mengenai usahawan Internet yang menceburi bidang ini tanpa kelengkapan yang mencukupi iaitu KEKUATAN MENTAL, SEMANGAT, EMOSI dan MOTIVASI serta KEMAHIRAN TEKNIKAL.
Saya akan kongsikan 4 orang yang telah GAGAL dalam ebiz, tapi ada di antara mereka yang telah bangkit kembali dan yang lain saya tidak tahu apa nasib mereka sekarang.
Usahawan 1: Kesilapan beliau adalah, semua perkara teknikal 100% berharap kepada orang lain sama ada pihak provider atau rakannya (bukan rakan kongsi). Akhirnya, laman web entah ke mana, hosting expired dan yang paling sedih, teknik promosi pun tidak tahu sangat kerana tidak ada usaha pembelajaran. Saya tak tahu apa nasib beliau sekarang dan saya berharap, jika dia masih berminat dan mahu, bangkitlah kembali dan perbaiki apa yang patut. Jika dia tidak mahu lagi, lupakan terus dunia eBiz.
Usahawan 2: Beliau ada kemahiran teknikal komputer & Internet (asas sahaja), tapi masih banyak yang perlu dipelajari. Sepertimana usahawan 1 tadi, si dia ini juga masih berharap 100% kepada orang lain. Namun, beliau adalah usahawan offline dan mencuba perniagaan secara online juga. Maka, saya tak pasti, adakah beliau masih melakukan ebiz? Ini kerana, beliau keseorangan dalam hal-hal teknikal. Beliau boleh pergi jauh, andaikata dia ada kemampuan teknikal sama ada sendiri atau rakan kongsi.
Usahawan 3: Dia pernah menghasilkan 2 buah ebook. Ebook pertama membuatkan beliau dicaci, dimaki hamun dan dikata bukan-bukan. Bukan salahnya, tapi salah pengkritik negatif terhadap ebook beliau. Akhirnya, kerana tidak tahan dengan kata-kata negatif, beliau ‘menghapuskan’ (delete) ebook tersebut dari muka bumi ini, tiada satu pun yang disimpan. Ebook keduanya, berjaya di saat awal, tapi kemudian produknya ber-alih tangan. Juga bukan salahnya, tetapi salah orang lain yang menyebabkan dia jadi begitu.
Namun, daripada kegagalan itu, beliau bangkit kembali dan kini sudah mula bermotivasi tinggi dan menjadikan pengalaman lepas sebagai kayu ukur untuk masa kini dan masa depan. Tahniah kepada beliau kerana daripada gagal, beliau bangkit kembali. Dahulu, beliau tidak nampak potensi dirinya dalam dunia ebiz, tapi kini nampaknya sudah mula ada rentak. Apa yang dapat saya katakan, beliau adalah jenis cepat putus-asa, tapi cepat pula bangkit dan perbaiki apa yang patut, malah kuat belajar orangnya. Tahniah! 
Usahawan 4: Beliau juga usahawan offline dan kemudian mencuba secara online sebagai side income untuk melebarkan produk yang dijualnya. Tak silap saya sudah hampir 6 bulan dia menceburkan diri di dalam ebiz dan saya ada lah juga membantunya dan memberikan nasihat tertentu.
Produk pertamanya ok, namun pada produk keduanya, beliau sudah mula patah semangat. Fitnah orang, kata-kata buruk orang dan ketidak-keyakinan beliau terhadap konsep ebiz, menyebabkan beliau seolah-olah orang yang baru kenal ebiz.
Di saat awal saya mengenali beliau, dia seorang yang bermotivasi, tahu menerima tentangan orang lain. Namun kini, dia sudah berputus-asa kerana katanya, beliau TIDAK TAHAN dengan taburan fitnah orang kepada beliau dan produknya.
“Dunia online ni lain ZuL. Kita tak nampak orang dan orang tak nampak kita. Orang pun banyak buat fitnah kat saya ni. Malah, rasa tak sedap pula tak berhadapan dengan pembeli”. Lebih kurang begitulah katanya kepada saya di saat dia meluahkan perasaannya ingin berhenti daripada ebiz.
Katanya juga, jiwanya tidak sesuai dengan ebiz kerana beliau lebih suka berhadapan dengan pelanggan iaitu face to face. Saya boleh menasihatinya dengan kenyataan yang sebenar, tapi saya rasa, biarlah dia berehat seketika daripada persada ebiz atau melupakannya terus.
Saya faham akan situasi dia, maka saya menyuruhnya berehat dan melupakan ebiz buat seketika. Prinsip saya, saya tak suka memaksa orang jika mereka tidak suka atau tidak minat. Biarlah mereka membuat keputusan sendiri kerana itu lebih baik dan membuatkan mereka gembira.
Pengajaran & Pelajaran
Anda ingin membina perniagaan Internet sendiri? Masih newbie? Jika anda mendengar orang lain mengatakan mereka dengan mudah menjana RM10,000 seperti memetik jari, memang benar katanya. TAPI, itu adalah mereka, bukan anda! Adakah anda membaca bahagian Penafian Pendapatan di bawah website jualan (biasanya)?
Kata mereka, segala pendapatan adalah bergantung kepada hasil usaha anda sendiri dan cara teknik dilakukan. Malah ada yang menulis ayat penafian itu dalam warna yang nampak tak nampak dan bersaiz kecil, mungkin mereka tidak mahu anda membacanya! Maka terbukti, tajuk headline yang bombastik itu hanya ingin menarik anda membeli produk mereka sahaja.
Begitu seronok jika kita membaca kisah-kisah kejayaan, kehebatan ebiz, mudahnya perniagaan Internet, relaksnya menjadi usahawan Internet kan? Di saat awal dahulu, saya pun begitu juga, anggap bukan-bukan pada eBiz. Boleh goyang kaki lah, auto-pilot lah..
Tapi hakikatnya, ia sama seperti perniagaan biasa. Tak percaya?? Anda akan faham setelah anda melakukan eBiz. Kata-kata saya ini mungkin tidak membuatkan anda rasa, maka saya yakin apabila anda melakukan ebiz, anda akan faham maksud yang saya ingin sampaikan ini.
Bagaimana dengan kisah 4 orang usahawan Internet tadi?
Ia adalah kisah benar. Mereka ada kaitan dengan saya kerana saya ada bersama mereka dari awal pembabitan mereka dalam dunia ebiz. Nak kata sebagai mentor, tak juga, tapi sekadar memberi nasihat dan sedikit bantuan teknikal. Banyak yang saya belajar untuk diri saya dan daripada keadaan yang menimpa mereka. Pengalaman begitu bermakna sekali. Sebab itu saya kongsikan dengan ada di blog ini…
Kesimpulan yang saya dapat buat (hanya sebahagian) daripada kegagalan mereka itu:
1. Tiada asas komputer dan Internet. Hal ini saya sudah banyak kali ulang. Jika anda tanya saya soalan yang asas tanpa berusaha mencari dan mempelajarinya sama ada di Internet, buku atau eBook, saya mungkin tidak membantu anda. Anda perlu berusaha belajar, masuklah bengkel atau kelas IT jika ada.
Saya tak akan ajar perkara yang simple dan asas kerana saya banyak kerja lain yang perlu dilakukan. Lagipun, anda mesti melalui proses mencari ilmu dan pembelajaran. Ia bukan seperti memetik jari, semuanya dapat. Sekali lagi, BELAJARLAH ASAS KOMPUTER DAN INTERNET! Di sebabkan kekurangan asas teknikal yang diperlukan, 4 usahawan tadi terkandas atau habis begitu sahaja…
2. Tiada mentor. Jika anda serius, dapatkanlah mentor. NAMUN, konsep mentor yang saya ingin maksudkan di sini adalah PERSONAL COACH. Daripada pemerhatian saya, pembelajaran secara ‘pukal’ tidak mendatangkan hasil maksimum jika pelajar tadi zero IT dan asas perniagaan Internet. Paling teruk, asas keusahawanan pun tak ada.
Bukan saya kata seminar dan bengkel yang biasa tak bagus, tidak sama-sekali sebab ia pun ada kelebihan dan pro tersendiri. Namun bagi saya ia hanyalah ‘kick-start’ atau ‘add-on’, tapi tidak sepenuhnya membantu. Maka, menjadi tanggungjawab mentor memberikan inspirasi, motivasi, didikan, semangat dan segalanya kepada anak didik mereka.
Saya tergelak seketika apabila membaca satu ebook temuramah yang mana salah seorang yang ditemuramah mengatakan, “anda tak perlukan mentor sebab begitu banyak bahan di Internet. Saya berjaya atas usaha saya sendiri…”. Hahaha… Saya ketawa.
Dia tidak fikir yang tahap pemikiran dia atau pengetahuan dia adalah berbeza dengan orang lain. Dia silap sebab dia menyuruh orang lain melakukan langkah ‘menyeksakan’ dengan mencari sendiri di Internet (ilmu ebiz dan keusahawanan).
Saya mengaku, saya sendiri pun bermula dengan mencari sendiri di Internet, TAPI4 tahun pencarian saya sebelum bertemu the real guides. Adakah anda ingin melalui tempoh yang begitu menyeksakan itu? Jadi, jika ada orang kata mentor itu tak perlu, anda ketawalah depan dia.
Mentor amat diperlukan ok!
3. Tak faham konsep eBiz. Ada yang anggap, ebiz ni mudah. Ya, memang mudah. Tapi, sebagai usahawan Internet, ia adalah lebih daripada sekadar jual dan beli. Jika anda berpegang kepada konsep auto-pilot seperti produk digital, anda perlu tahu bahawa, jika anda tiada pengawalan terhadap diri sendiri, ia boleh membuatkan anda malas.
Auto-pilot adalah satu alat atau kelebihan semata-mata, bukan bermakna kita boleh bersantai di tepi pantai (maksudnya bermalas-malasan). Sebaliknya, dengan adanya auto-pilot, kita boleh menumpu lagi kepada perkara yang penting seperti R&D, peningkatan jati-diri, perancangan ebiz dan sebagainya. Maka, jangan terpengaruh dengan gaya hidup mereka yang hanya buat duit semata-mata, sebaliknya bukan buat bisnes. Ia berbeza.
Tak faham ebiz juga bermaksud, ramai mereka yang tak faham konsep asasnya seperti “halalkah jual beli melalui Internet”? Ada yang ragu akan hal ini padahal sudah ada fatwa akan bolehnya berjual-beli melalui Internet. Terkini, Ustaz Zaharuddin pun mengatakan, Internet itu neutral, maka boleh berjual-beli melaluinya, tak ada apa-apa masalah. Lainlah pelaburan yang jelas haram atau transaksi jual-beli yang terlarang.
Juga ada yang menganggap, menerima bayaran melalui Internet seolah-olah menipu pembeli kerana kita tidak berhadapan dengan mereka. Ia membuatkan badan tidak selesa. Betul kah? Kalau mereka faham, online payment itu adalah satu alat semata-mata, ia tak bersalah. Yang salah adalah, JIKA usahawan Internet tadi TIDAK berinteraksi dengan para pelanggannya, tak memperkenalkan siapa dirinya, tak mengenali pembeli-pembelinya dan yang lebih bahaya adalah, TIADA SUPPORT (lepas tangan!).
Support? Saya yakin, ramai usahawan Internet pening dan malas memberi support bukan? Ya lah, 1001 jenis perangai pembeli yang ada. Tapi nak buat macam mana, mereka adalah pembeli kita, maka WAJIB kita membantu mereka. Jangan dah dapat duit, terus lesap dan tak nak melayan persoalan mereka.
Tak baik tu sebab mereka bayar kita. Berilah support tak kira lambat atau cepat. Pembeli pun manusia, mereka faham situasi kita. Jadi, perasaan bersalah menerima bayaran melalui Internet itu akan tiada jika anda (usahawan Internet) berinteraksi dengan pelanggan. Jadikan mereka seperti kawan-kawan anda ok. Jangan anggap mereka orang asing.
4. Motivasi Tak Kuat. Motivasi lagi. Kenapa? Bosannya yer dengan motivasi? Jangan bosan, anda perlu memperkuatkan motivasi diri anda. Tingkatkan jati-diri anda sebagai seorang Usahawan. Saya dulu di saat awal menceburkan diri dalam ebiz, saya mudah sensitif. Kalau ada orang ‘cuit’ sikit jer, saya dah putus-asa.
Jika di bisnes offline pun ada ‘sepak terajang’, di bisnes online pun ada sepak-menyepaknya juga. Fitnah, dengki, tak puas hati, dan banyak lagi. Dah nama dunia maya, hmm, maka sebab tak nampak itulah maka mudahnya fitnah ditaburkan sepertimana pengalaman usahawan ke-4 tadi iaitu beliau menerima fitnah yang tak benar. Jika anda tiada kekuatan jiwa, kuatkanlah agar jika anda menerima komen negatif yang membunuh, cacian dan fitnah, anda tetap dalam kesabaran dan dapat mengawal diri.
Saranan saya untuk kekal dan tingkatkan motivasi adalah seperti berkomuniti di forum, join perjumpaan, sertai mana-mana persatuan, bersosial (jangan bersendiri), wujudkan kumpulan mastermind sendiri, baca buku motivasi, sertai seminar-seminar motivasi atau perniagaan dan banyak lagi cara.
5. Buat sendiri-sendiri. Saya pernah menulis akan hal ini. Jika anda ingin berjaya dan mudah kekal dalam perniagaan Internet, buatlah dengan ‘partner’ sama ada secara jangka pendek atau jangka panjang. Buat sorang-sorang ni bahaya (macam saya).
Tatkala semangat lemah, perniagaan akan terbiar dan tak ada yang memahami untuk membangkitkan kembali semangat kita. Tiada kumpulan perbincangan seperti mastermind group dan tak aktif berkomuniti menyebabkan kita keharuan seorang diri dan perniagaan Internet boleh hancur begitu saja…
Saya rasa, cukuplah perkongsian panjang saya pada kali ini. Kisah yang saya ceritakan di atas adalah KISAH BENAR. Saya tak mahu anda hanya membaca sahaja tanpa mengambil iktibar terutama anda yang masih baru dan baru hendak mula. Ia adalah kenyataan kerana sesiapapun akan mengalami hal ini. Saya bukan nak menakutkan tetapi saya mahu anda bersiap-sedia sahaja. Sebab itu saya mahu anda SERIUS. Kita bercakap mengenai perniagaan, keusahawanan dan bisnes. Bukan cakap-cakap kosong.
Jika anda serius, tahniah. Bagi yang tak serius dan ego dengan diri sendiri, saya tak tahu nak kata apa.
Jika anda rasa andalah seorang daripada 4 orang yang saya ceritakan itu, maafkan saya kerana berkongsi kisah anda di sini. Semoga kisah anda itu memberikan manfaat kepada orang ramai. Empat usahawan yang gagal kekal dalam ebiz, gagal menerima tentangan, gagal meneruskan perniagaan Internet dan gagal berusaha kerana tidak cukup ilmu atau aspek tertentu. Namun, gagal itu ada yang sementara kerana yang gagal itu ada yang bangkit kembali dan berjaya.
Persoalannya di sini: Adakah anda serius dalam perniagaan Internet? Suka-suka? Cuba-cuba? Sekadar isi masa lapang? Mencuba nasib? Berharap 100% kepada orang lain? Ada duit tapi kedekut untuk membeli buku/ebook? Ada tak usaha untuk belajar ebiz dan asas IT? Anda faham konsep asas ebiz sebenar? Ada asas bisnes? Rela menerima komen negatif atau anda seorang yang manja (mudah merajuk, sedih..)? Dan yang paling penting, UNTUK apa anda lakukan perniagaan Internet? Apa matlamat anda? Ada perancangan atau tidak? Atau, hanya $$$$$ yang ada di dalam kepala?
Cukuplah dahulu dengan persoalan-persoalan tersebut. Anda jawablah untuk diri sendiri…
Wassalam.






0 ulasan:
Catat Ulasan
Maklumat lanjut:
Matrik Utama Sdn Bhd,
Tel: +603 2116 9621
Fax: +603 2116 5999
SMS/Whatapps: +6011 3939 1800
Email: info@matrikutama.my
Web: http://matrikutama.my
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.