Featured Article
Memaparkan catatan dengan label Kerjaya. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kerjaya. Papar semua catatan

20120419

Usahawan Madu Kelulut



Norlezah Baharom menunjukkan kotak kelulut yang telah mula mengeluarkan hasil.


MUNGKIN tidak ramai yang pernah mendengar tentang madu kelulut apa lagi melihat lebah kelulut mahupun merasai madunya. 
Biasanya bila dikatakan madu, ia amat sinonim sekali dengan dengan madu lebah berbanding kelulut. 
Sehingga kini banyak kajian hanya menjurus kepada lebah madu dalam Genus Apis sepertiApis melifera dan Apis dorsatayang menyengat.
Manakala lebah tidak menyengat atau lebih dikenali sebagai kelulut dalam genus trigona juga memainkan peranan penting bagi proses pendebungaan selain menghasilkan madu.
Sama seperti lebah madu, kelulut juga membentuk koloni sosial yang kompleks.
Salah seorang pengusaha madu, Norlezah Baharom berkata, dia bermula mengusahakan lebah madu secara suka-suka pada tahun 1986 di Serdang Lama, Selangor. 
"Ketika itu saya menjalankan usaha secara kecil-kecilan sehinggalah berhenti kerja pada tahun 1994," ujarnya membuka bicara berkongsi pengalaman lampau.
Norlezah berkongsi pengalamannya itu ketika ditemui di kawasan ternakan kelulut di Ibu pejabat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Serdang Selangor baru-baru ini. 
Bercerita lebih lanjut dalam nada bersungguh-sungguh, Norlezah memberitahu dia membangunkan syarikat Sri Cerana untuk menternak dan memasarkan madu lebah Cerana. 
Bagaimanapun pada tahun 1997, ternakan lebahnya diserang wabak penyakit selain kejadian jerebu menyebabkan lebah yang dipelihara hampir semuanya mati atau lari. 
Justeru pada tahun 2005, Norlezah dengan khidmat nasihat daripada MARDI beralih kepada ternakan lebah kelulut. 
"Ketika itu saya membangunkan sebuah syarikat lain, HNS Trigona bagi menternak dan memasarkan madu daripada tiga jenis lebah berlainan iaitu trigona, cerana dan melifera," katanya. 
Buat masa ini Norlezah yang mempunyai ladang belimbing seluas 100 ekar di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Lancang, Pahang menternak kelulut di sana. 
Norlezah menggunakan kelulut sebagai agen pendebungaan juga mendapati hasil buah belimbing semakin bertambah. 
Ini dapat dibuktikan dengan melihat ladang ternakan kelulut MARDI yang ditanam dengan durian mengeluarkan hasil berterusan tanpa musim. 
Ladang durian yang mempunyai koloni kelulut juga menunjukkan peningkatan hasil dan sentiasa berbuah tidak mengira musim.
Norlezah berkata, koloni lebah mudah lari dan diserang penyakit dibanding dengan kelulut yang tidak melarikan diri dan tidak menyengat. 
Buat masa ini, dia mempunyai 50 kotak koloni kelulut di ladang belimbing sejak bulan Jun lalu. 
"Sebenarnya sebelum mendapatkan khidmat nasihat pihak MARDI, kami masuk ke hutan mencari sarang kelulut. 
"Kami akan menebang bahagian pokok yang mempunyai kelulut dan menyimpannya untuk dibiakkan," katanya. 
Kini dengan khidmat nasihat pihak MARDI, dia meletakkannya dalam satu kotak yang boleh dituai setiap tujuh minggu. 
Biasanya satu kotak akan menghasilkan satu kilogram (kg) madu bergantung kepada makanan yang diberikan kepada lebah. 
Di dalam satu kotak terdapat madu, propolis dan bee bread (pollen). 
Norlezah berkata, produk kelulut mendapat permintaan yang menggalakkan daripada farmasi. 
Madu kelulut dibandingkan dengan madu lebah dikatakan mempunyai antioksidan yang tinggi manakala propolis pula dikatakan mempunyai antibiotik semulajadi. 
Menyentuh mengenai rasa, Norlezah berkata, madu kelulut berasa agak masam berbanding madu lebah. 
Jika lebah madu menyengat menyebabkan pengumpul madu perlukan pakaian yang khusus tetapi mengumpul madu kelulut lebih mudah. 
"Kelulut tidak menyengat tetapi menggigit dan tidak berbisa. 
"Biasanya hanya individu pertama yang membuka kotak akan digigit dan gigitan tidak memberikan kesan sampingan seperti lebah madu," katanya. 
Norlezah berkata, semua kaedah dari menternak hingga kepada pengumpulan semuanya diperoleh daripada tunjuk ajar pihak MARDI. 
Jika dulu, dia menggunakan picagari untuk mengambil madu kelulut tetapi dengan teknologi MARDI tugasnya lebih senang. 
Selain pokok belimbing dan durian, lebah kelulut sesuai sebagai agen pendebungaan bagi longan, rambutan, mangga, ciku serta pelbagai buah-buahan lain. 
Koloni kelulut yang mendapat makanan yang secukupnya daripada ladang akan mengeluarkan hasil madu yang lebih banyak. 
Sehingga kini Norlezah memasarkan produknya di Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), farmasi, pengedar di pasar malam dan pelanggan yang membeli terus daripadanya. 
"Sambutan terhadap produk kelulut amat menggalakkan dan saya bercadang untuk menambah kotak koloni kelulut bagi memenuhi permintaan pelanggan," katanya. 
Mereka yang ingin mendapatkan maklumat mengenai madu kelulut boleh menghubungi Norlezah di talian 012-362 5711 atau e-mel: trigona2006@yahoo.com atau facebook:trigonabee@yahoo.com.

Kerjaya SebagaiPemandu Teksi Wanita




PEMANDU Teksi Wanita pertama, Zaharah Abdul Rahman pada perasmian Teksi Wanita sempena Hari antarabangsa Menangani Keganasan terhadap Wanita di Terminal Bersepadu Selatan, bandar Tasik Selatan, baru-baru ini.


WANITA berusia 38 tahun ini telah melakukan pelbagai kerja demi untuk memperbaik taraf hidupnya di kota besar seperti Kuala Lumpur.
Walaupun tidak pernah merancang untuk menceburkan diri dalam kerjaya itu, namun sejak 10 tahun lalu itulah pekerjaan yang melekat di hatinya.
Tidak sukar untuk Faridah Idris anak kelahiran Melaka itu melayakkan dirinya sebagai pemandu teksi memandangkan dia memang berkebolehan memandu kereta.
Lebih menyeronokkan apabila niatnya untuk menjadi pemandu teksi di kota Kuala Lumpur yang sentiasa sibuk tidak pernah dilarang oleh ahli keluarga. Sebaliknya mereka memberikan galakan.
''Keluarga saya semuanya menjalankan perniagaan sendiri. Saya juga ibaratkan memandu teksi sebagai satu bidang perniagaan,'' katanya.
Semenjak itu, Faridah nekad untuk memilih bekerja sebagai pemandu teksi di Destination Transport (M) Sdn. Bhd.
Dirinya lebih berbangga kerana menjadi antara 50 pemandu teksi yang terlibat dalam projek rintis Teksi Wanita yang dilancarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada 26 November lalu.
''Saya tidak pernah merancang kerjaya ini. Saya akui dengan bidang yang jarang diceburi oleh wanita ini memberikan pendapatan yang baik untuk diri saya,'' katanya.
Selain bekerja keras selepas waktu Subuh sehingga menjelangnya tengah malam, akuinya dia lebih suka bekerja daripada bercuti.
Malah wanita itu juga tidak pernah rasa tertekan jika saban hari terpaksa berhadapan dengan laluan baru kerana menganggap ia sebagai cabaran.
''Pengalaman melalui laluan baru saya suka kerana secara tidak langsung ini akan menambahkan pengalaman saya untuk mahir dengan jalan-jalan di sekitar Kuala Lumpur,'' katanya.
Cerita Faridah, sepanjang 10 tahun menjadi pemandu teksi dia tidak pernah berdepan dengan cabaran yang menakutkan.
Bagaimanapun jelas wanita itu, dia mempunyai ilmu mempertahankan diri kerana baginya itu penting kerana malang itu tidak berbau.
''Apa yang penting adalah niat kita untuk mencari rezeki. Alhamdulillah setakat ini saya bukan sahaja tidak bertemu dengan penumpang yang berniat jahat, malah tidak pernah kemalangan,'' katanya.
Jelas Faridah, sebagai pemandu teksi diaperlu mengetahui selok-belok dalam menjaga kenderaan.
Katanya, pengalaman menukar sendiri tayar merupakan cabaran yang pernah ditempuh ketika di awal pembabitan sebagai pemandu teksi.
Faridah memberitahu, seorang pemandu teksi bukan sahaja perlu pandai berkomunikasi, malah perlu rajin menimba pengetahuan untuk dikongsi dengan penumpang.
Bagi Faridah, dia bukan sahaja seorang pemandu teksi malah juga perlu bertanggungjawab untuk mempromosi tempat-tempat menarik di negara ini.
Sehubungan itu, katanya, dia bukan sahaja fasih berbahasa Inggeris malah turut menguasai beberapa perkataan mudah dalam bahasa Jepun, Arab dan Mandarin.
Bagi seorang lagi pemandu teksi wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Yati, 53, menjadi pemandu teksi menyeronokkan berbanding kerjayanya sebagai pembantu di sebuah tadika sebelum itu. Dia telah menjadi pemandu teksi dengan Destination Transport (M) Sdn. Bhd. sejak dua tahun lalu.

''Saya juga antara pemandu wanita yang terlibat dalam projek rintis kerajaan iaitu Teksi Wanita,'' katanya.
Bagi Yati, sepatutnya kaum wanita yang selama ini risau untuk menyewa teksi yang dipandu lelaki di waktu malam dan sebagainya boleh menggunakan perkhidmatan ini.
Katanya, Teksi Wanita menjadikan penumpang wanita lebih selesa untuk ke destinasi dituju.
Beliau berharap, projek yang dilaksanakan baru-baru ini itu akan mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan kaum wanita.

Agoda

Label

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Dikuasakan oleh Blogger.