Featured Article

20120419

Usahawan Kek Dan Biskut



Fairuz Delight
Minat yang mendalam terhadap pembuatan kek mendorong Siti Nur Fairuz Shuid menubuhkan Fairuz Delight yang menawarkan pelbagai jenis kek, biskut dan tart.

Beliau berkata, Fairuz Delight hanya beroperasi melalui rumah yang terletak di Pulau Pinang menerusi tempahan yang dilakukan orang ramai.

Berikutan itu, Fairuz tidak menetapkan sasaran untuk membuka kedai jualan, namun menanam hasrat untuk menjadi tenaga pengajar suatu masa nanti.

Pada masa ini, katanya, Fairuz Delight menawarkan pelbagai kek, biskut dan tart seperti kek coklat, kek kukus, cheese tart dan tart nanas.

“Kesemua kek dan biskut ini hasil tangan saya sendiri, malah bagi tart nanas jemnya juga saya buat sendiri,” katanya.

Menurutnya, kek-kek dan biskut itu mendapat permintaan menggalakkan, terutama ketika musim cuti sekolah atau majlis-majlis keraian seperti perkahwinan dan hari jadi.

Fairuz pernah menghentikan sementara perniagaan ini selepas berkahwin dan mempunyai anak, namun disebabkan minat yang begitu kuat sejak di bangku sekolah lagi, dia menyambung semula bisnes berkenaan.

“Saya mula membuat kek sejak dari bangku sekolah lagi dan ibu menjadi tukang ajar kepada saya,” katanya.

Fairuz berkata, untuk mengaktifkan semula bisnes itu, dia bercadang menyertai mana-mana ekspo atau Karnival Usahawan Desa (KUD) untuk menimba sebanyak mungkin ilmu dan melebarkan sayap perniagaannya itu.

Beliau juga menyertai skim galakan usahawan di bawah bimbingan Jabatan Pertanian dan Felcra Berhad (Felcra).

“Felcra banyak membantu saya dari segi khidmat nasihat dan kursus-kursus dianjurkan, manakala Jabatan Pertanian menolong dari segi penyediaan alat kemudahan seperti ketuhar pembakar,” katanya.

Doktor Tapi Pakar Kek



Raihanna Kamaruddin


SENI kulinari adalah 'cinta' pertama gadis ini, namun keputusan peperiksaan yang cemerlang membuatkan dia ditawarkan mengikuti kursus perubatan di Russian State Medical University, Moscow.
Mengejar dua bidang berbeza yang menjadi minatnya lalu dia berazam untuk bergelar doktor yang pakar dalam membuat kek.
"Bagi saya membuat kek umpama sesi terapi terutama ketika stres berdepan dengan pengajian yang semakin sukar," ujar, Raihanna Kamaruddin, 23.
Gadis manis ini mengakui menuntut ilmu di negara orang memang ada cabarannya tersendiri apatah lagi apabila ia dijalankan sepenuhnya dalam bahasa tempatan.
Gadis ini perlu melipatgandakan usaha mentafsir makna dan menguasai bahasa Rusia demi menjawab soalan peperiksaan yang bakal menentukan masa depannya kelak.
"Bukan sekadar masalah bahasa, kelas yang terletak jauh antara satu sama lain dan cuaca yang sejuk memang cukup menyukarkan," ujar Raihanna yang ditemui di Puchong, Selangor, ketika cuti semester baru-baru ini.
Justeru Raihanna menyifatkan minatnya membuat kek adalah sebagai salah satu terapi untuk dirinya yang berhadapan dengan pelbagai cabaran sebagai pelajar di sana.
Tanpa mengabaikan tanggungjawab hakikinya sebagai pelajar perubatan, dia meneruskan minat dan kepakarannya menghasilkan pelbagai jenis kek, tart, macarons, kek cawan dan sebagainya.
Bukan sekadar untuk diri sendiri bahkan Raihanna menerima tempahan melalui blog nyawww.raihannavanilla.blogspot.com.
Blog tersebut ditulis dan ditadbir sendiri bagi berkongsi pengalaman belajar, kisah suka duka dan paling utama memuat turun gambar kek serta masakan yang pernah dihasilkan.
Ilmu dituntut secara 'tidak rasmi' menerusi laman YouTube, namun jika pulang ke tanah air, Raihanna pasti tidak melepaskan peluang menghadiri kelas pembuatan kek.
Pada awalnya, ibu bapanya tidak begitu menyokong minat anak sulung mereka dalam bidang kek dan pastri kerana mahukan dia menjadi doktor.
Dalam diam Raihanna menggunakan duit poketnya sendiri untuk menuntut ilmu membuat kek.
"Saya dah macam ketagih, asal balik bercuti saja mesti mahu pergi kelas buat kek. Mungkin mama dan papa saya memahami minat saya yang terlalu kuat akhirnya papa menghadiahkan saya sebuah ketuhar dan pemutar kek," ujar Raihanna.
Berkat kesungguhan dan minat, gadis ini turut boleh berbangga apabila dapat menghadiahkan adiknya sebuah komputer riba dengan hasil jualan keknya.
"Di Moscow saya tinggal di asrama, hanya terdapat sebuah ketuhar. Bayangkan saya perlu berebut dengan pelajar lain.
"Untungnya berniaga di sana kebanyakan orang Rusia tidak begitu mahir seni perhiasan kek, yang mereka tahu kek yang sedap dimakan sahaja, jadi apabila kita menghasilkan kek yang bukan sekadar sedap bahkan cantik mereka menghargai dan dari situ saya mula menerima banyak tempahan.
"Biasanya saya mula membuat kek selepas kelas tamat pada jam empat setiap hari. Pukul 10 malam saya akan tidur dan akan bangun semula pada pukul 3 pagi untuk mengulang kaji pelajaran," jelasnya yang amat meminati membuat kek berbentuk anak patung 'Barbie'.
Mengenai barang mentah pula, Raihanna selesa jika mendapatkannya terus dari Malaysia kerana sukar untuk mendapatkan yang halal di Rusia.
Bapanya akan mengepos barangan mentah yang diperlukan anaknya dalam keadaan sejuk beku.
"Alhamdulillah, sekali jual saya mendapat kira-kira 300 ringgit, bukan sekadar kek, jika ada hari sukan atau karnival jualan, saya dan kawan akan bekerjasama menjual makanan seperti nasi lemak dan sebagainya," jelas Raihanna yang bercita-cita menjadi pakar perbidanan satu hari nanti.
Impian Raihanna adalah untuk mewujudkan sebuah kedai kek dan di sebelahnya klinik dia sendiri.
"Buat kek adalah satu terapi untuk saya, memasak adalah kepuasan sebenar. Menjadi cita-cita saya untuk menjadi wanita Melayu pertama yang berjaya dalam bidang bakeri dan perubatan," jelasnya.

Usahawan Madu Kelulut



Norlezah Baharom menunjukkan kotak kelulut yang telah mula mengeluarkan hasil.


MUNGKIN tidak ramai yang pernah mendengar tentang madu kelulut apa lagi melihat lebah kelulut mahupun merasai madunya. 
Biasanya bila dikatakan madu, ia amat sinonim sekali dengan dengan madu lebah berbanding kelulut. 
Sehingga kini banyak kajian hanya menjurus kepada lebah madu dalam Genus Apis sepertiApis melifera dan Apis dorsatayang menyengat.
Manakala lebah tidak menyengat atau lebih dikenali sebagai kelulut dalam genus trigona juga memainkan peranan penting bagi proses pendebungaan selain menghasilkan madu.
Sama seperti lebah madu, kelulut juga membentuk koloni sosial yang kompleks.
Salah seorang pengusaha madu, Norlezah Baharom berkata, dia bermula mengusahakan lebah madu secara suka-suka pada tahun 1986 di Serdang Lama, Selangor. 
"Ketika itu saya menjalankan usaha secara kecil-kecilan sehinggalah berhenti kerja pada tahun 1994," ujarnya membuka bicara berkongsi pengalaman lampau.
Norlezah berkongsi pengalamannya itu ketika ditemui di kawasan ternakan kelulut di Ibu pejabat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Serdang Selangor baru-baru ini. 
Bercerita lebih lanjut dalam nada bersungguh-sungguh, Norlezah memberitahu dia membangunkan syarikat Sri Cerana untuk menternak dan memasarkan madu lebah Cerana. 
Bagaimanapun pada tahun 1997, ternakan lebahnya diserang wabak penyakit selain kejadian jerebu menyebabkan lebah yang dipelihara hampir semuanya mati atau lari. 
Justeru pada tahun 2005, Norlezah dengan khidmat nasihat daripada MARDI beralih kepada ternakan lebah kelulut. 
"Ketika itu saya membangunkan sebuah syarikat lain, HNS Trigona bagi menternak dan memasarkan madu daripada tiga jenis lebah berlainan iaitu trigona, cerana dan melifera," katanya. 
Buat masa ini Norlezah yang mempunyai ladang belimbing seluas 100 ekar di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Lancang, Pahang menternak kelulut di sana. 
Norlezah menggunakan kelulut sebagai agen pendebungaan juga mendapati hasil buah belimbing semakin bertambah. 
Ini dapat dibuktikan dengan melihat ladang ternakan kelulut MARDI yang ditanam dengan durian mengeluarkan hasil berterusan tanpa musim. 
Ladang durian yang mempunyai koloni kelulut juga menunjukkan peningkatan hasil dan sentiasa berbuah tidak mengira musim.
Norlezah berkata, koloni lebah mudah lari dan diserang penyakit dibanding dengan kelulut yang tidak melarikan diri dan tidak menyengat. 
Buat masa ini, dia mempunyai 50 kotak koloni kelulut di ladang belimbing sejak bulan Jun lalu. 
"Sebenarnya sebelum mendapatkan khidmat nasihat pihak MARDI, kami masuk ke hutan mencari sarang kelulut. 
"Kami akan menebang bahagian pokok yang mempunyai kelulut dan menyimpannya untuk dibiakkan," katanya. 
Kini dengan khidmat nasihat pihak MARDI, dia meletakkannya dalam satu kotak yang boleh dituai setiap tujuh minggu. 
Biasanya satu kotak akan menghasilkan satu kilogram (kg) madu bergantung kepada makanan yang diberikan kepada lebah. 
Di dalam satu kotak terdapat madu, propolis dan bee bread (pollen). 
Norlezah berkata, produk kelulut mendapat permintaan yang menggalakkan daripada farmasi. 
Madu kelulut dibandingkan dengan madu lebah dikatakan mempunyai antioksidan yang tinggi manakala propolis pula dikatakan mempunyai antibiotik semulajadi. 
Menyentuh mengenai rasa, Norlezah berkata, madu kelulut berasa agak masam berbanding madu lebah. 
Jika lebah madu menyengat menyebabkan pengumpul madu perlukan pakaian yang khusus tetapi mengumpul madu kelulut lebih mudah. 
"Kelulut tidak menyengat tetapi menggigit dan tidak berbisa. 
"Biasanya hanya individu pertama yang membuka kotak akan digigit dan gigitan tidak memberikan kesan sampingan seperti lebah madu," katanya. 
Norlezah berkata, semua kaedah dari menternak hingga kepada pengumpulan semuanya diperoleh daripada tunjuk ajar pihak MARDI. 
Jika dulu, dia menggunakan picagari untuk mengambil madu kelulut tetapi dengan teknologi MARDI tugasnya lebih senang. 
Selain pokok belimbing dan durian, lebah kelulut sesuai sebagai agen pendebungaan bagi longan, rambutan, mangga, ciku serta pelbagai buah-buahan lain. 
Koloni kelulut yang mendapat makanan yang secukupnya daripada ladang akan mengeluarkan hasil madu yang lebih banyak. 
Sehingga kini Norlezah memasarkan produknya di Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), farmasi, pengedar di pasar malam dan pelanggan yang membeli terus daripadanya. 
"Sambutan terhadap produk kelulut amat menggalakkan dan saya bercadang untuk menambah kotak koloni kelulut bagi memenuhi permintaan pelanggan," katanya. 
Mereka yang ingin mendapatkan maklumat mengenai madu kelulut boleh menghubungi Norlezah di talian 012-362 5711 atau e-mel: trigona2006@yahoo.com atau facebook:trigonabee@yahoo.com.

Agoda

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Dikuasakan oleh Blogger.